Mothering

by ZURAIDA KAMARUDDIN

Kelab G100 Global sasar 1 juta ahli profesional wanita

KUALA LUMPUR: Kelab G100 Global, iaitu sebuah kumpulan pemimpin wanita menyasarkan mempunyai keanggotaan seramai sejuta ahli terdiri daripada golongan profesional dalam usaha menjadi satu platform terbaik bagi sumbangan wanita kepada dunia, menjelang tahun depan.

Pengasas dan Presiden Kelab G100, Dr Harbeen Arora Rai, berkata ketika ini kelab yang ditubuhkan pada tahun 2020 itu mempunyai kira-kira 150 negara anggota di seluruh dunia dan menyasarkan lebih banyak lagi keanggotaan.

Katanya, tujuan utama kelab ini ditubuhkan adalah untuk berusaha menangani cabaran dan memacu penyelesaian merentasi 100 sektor yang berbeza.

"Di dalam Kelab G100 Global ini, kami mempunyai matlamat memperkukuhkan hubungan untuk pembelajaran dan kerjasama dalam kalangan komuniti di semua peringkat membuat keputusan.

"Ia adalah kumpulan wanita dan lelaki yang berpengaruh, inklusif dari semua lapisan masyarakat yang ingin memberi kembali dan menggerakkan semua ke hadapan sebagai arkitek masa depan.

"Kita akan bersama-sama menggembleng tenaga, kepimpinan, pemikiran dan mengusulkan cadangan konkrit kepada kumpulan berkepentingan mengenai apa sahaja yang perlu dilakukan untuk pemerkasaan ekonomi dan sosial wanita di seluruh dunia," katanya ketika mesyuarat julung kalinya diadakan di negara ini.

Majlis bertemakan Pemerkasaan Wanita melalui 3E: Persekitaran, Pendidikan dan Keusahawanan itu dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Turut hadir penasihat khas kepada presiden Congo untuk belia dan memerangi keganasan terhadap wanita, Chantal Yelu Mulop.

Kelab G100 Global menghimpunkan kumpulan 100 pemimpin wanita yang diperkasakan dari seluruh dunia, mengetuai 100 sayap global , disokong oleh 100 juara She (Kelab Denim) dan 100 Country Chairs untuk kuasa advokasi, kesedaran dan impak merentas kerajaan dan organisasi untuk masa depan.

Harbeen berkata, isu membabitkan kesaksamaan gender juga menjadi tumpuan penting kepada kelab berkenaan.

Katanya, ia bukan lagi isu wanita atau isu satu negara tetapi membimbangkan setiap orang.

"Ia juga adalah satu cabaran global yang memerlukan kerjasama semua untuk memerangi dan mengatasinya.

"Menerusi pembabitan dan pertukaran idea, ini membolehkan kesaksamaan gender dilihat dan diusahakan oleh semua sebagai satu kemestian sosial dan ekonomi yang mendesak ke arah mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk wanita.

"Kami percaya bahawa apabila kuasa penyelesaian melebihi masalah, perubahan akan berlaku," katanya.

Kelab G100 Global menawarkan pelbagai kekuatan dan kepintaran rangkaian serta pengetahuan dalam perkhidmatan semua penyelesaian kepada pihak berkepentingan.

"Tujuannya tidak lain adalah supaya kita dapat bersama-sama meneruskan kesaksamaan, pemerkasaan dan kepimpinan wanita," katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, Kelab G100 Global ini adalah satu organisasi yang terdiri daripada wanita profesional yang memimpin pelbagai kategori.

Katanya, visi dan misi mereka sangat jelas dalam usaha memperkasakan wanita di seluruh dunia.

"Saya juga mempunyai organisasi berteraskan pemimpin wanita dan akan bergabung dengan mereka.

"Sumbangan wanita dalam tenaga buruh masih belum tinggi iaitu kira-kira 30 peratus saja dan kita menyasarkan sebanyak 60 peratus.

"Wanita dalam membuat keputusan juga masih rendah, kita nak lebih ramai wanita diberi kedudukan ini supaya wanita lebih kuat dan negara lebih maju," katanya.

Foto/NSTP

World